Ahad, 24 Oktober 2010

20 TAHUN NIK AZIZ SEBAGAI MENTERI BESAR

Sebagai seorang yang kenal Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat walau pun tak menghampirinya biarpun sejenak, Namun beliau adalah seorang insan hebat kurniaan Allah kepada umat Islam kini lebih-lebih lagi kepada setiap amilin PAS yang telah sekian lama memberi pengorbanan semampu yang ada bagi memartabatkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini. Sesungguhnya beliaulah insan yang telah menterjemahkan segala pemikiran, idea, pandangan, hasrat dan harapan para pemimpin PAS yang terdahulu dalam bentuk amali dan realiti.

20.10.2010 adalah merupakan tarikh yang cukup bermakna bagi seluruh amilin PAS kerana di hari itulah genapnya 20 tahun Tok Guru menjadi Menteri Besar Kelantan dengan berdepan dengan pelbagai cabaran, mehnah, pancaroba dan fitnah dari musuh-musuh beliau. Namun dengan keikhlasan dan pengharapan yang tinggi kepada Allah selaku pelindungNya, pengawalNya juga tuhanNya maka beliau dapat menempuh segalanya dengan tenang dan tabah melalui petunjuk Allah. Di bawah ini diperturunkan suatu coretan kisah sebahagian dari ratusan mungkin ribuan kisAH benar asam garam perjuangan seorang ulama yang mempunyai kuasa eksekutif sebagai menteri besar yang dipetik dari http://msomelayu.blogspot.com setelah mendapat keizinan pemilik blog berkenaan..

"[kemaskini] MEREKA atau individu yang merasakan saya sebagai seorang peminat kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak percaya kalau saya sudah
tidak bertemu muka dan bersalaman dengan beliau hampir tiga tahun.

Apa lagi orang masih melihat konteks batin dan naluri kemanusiaan saya dengan beliau cukup kuat. Ia tercermin di mana-mana saja akan hal ini. Kandatipun
saya sesekali mengkritik beliau, tetapi kritikan itu akan lebih mengemenkan lagi tali konteks batin saya dengan beliau. Orang tahu dan beliau sendiri tahu
bahawa kritikan saya tidak lebih daripada sang ibu kerbau yang menanduk anaknya kerana ingin memberi peringatan. Sesungguhnya tandukan itu tidak akan merodak
ke hulu hati si anak yang mulia.

s320/Majlis+perlancaran+20+th+copy
Antara saya dengan beliau ada perjanjian dan ba'iah yang tidak mungkin difahami oleh sesiapa. Hanya kami saja yang sedia maklum. Apakah lafaz dan ikrar
hanya terbungkus dalam hati kami yang disaksikan malaikat di kiri dan di kanan. Ianya sangat peribadi untuk diangkatkan di sini. Justeru atas kekemasan
tali perhubungan itu saya tidak pernah merasakan yang Tok Guru terkedu hati atau marahkan saya, kalau saya jadi sebaliknya. Tidak..

Rasanya ketika Tok Guruku itu sedang berbulan madu dengan sambutan sempena genap 20 tahun pentadbirannya selaku MB Kelantan dewasa ini tidak elok kalau
saya mencungkilkan sebab musabab kenapa saya tidak bertemu muka dengannya. Biarlah ia menjadi sebahagian sejarah antara kami - terutamanya saya. Mungkin
dilain lembaran dan keadaan akan diceritakan kenapa saya merajuk sendiri tanpa diketahui pun oleh Tok Guru.

Namun beliau tahu akan sebab musabab perenggangan itu. Tahu sangat. Selalunya kalau saya lama tidak muncul di Kelantan ataupun berada di laluan di mana-mana
dewan untuk beliau menuju ke pentas untuk bersalam dan mencium tangannya, dia akan bertanya kenapa, lama tidak timbul kalau beliau merasakan saya lama
tidak menemuinya? Atau pun akan bertanya sihat ke dan buku baru apa judulnya?

Apabila beliau bertanya demikian saya mengira dia mengunci segala pergerakan saya dalam ainu politiknya.

Hari ini atau tepatnya 21 Oktober lalu genap 20 tahun Tok Guru menerajui Kelantan Darulnaim sebagai MB. Satu kejayaan besar dan rekod tersendiri buatnya.
Saya mengira rekod ini tidak mungkin akan terpecah oleh mana-mana tokoh baik dari Pas ataupun Umno selepas ini. Dua dekad, satu jangka masa terlalu panjang
yang menunjukkan betapa stabilnya pemerintahan seseorang itu dalam politik kontemporari ini. Pastinya tanpa ada senjata ampuh dan politik bijaksana ianya
tidak akan sampai ke tahap itu. Dalam hal ini pada saya Tok Guru memiliki cenduai politik yang sangat menyerap dan mujarab.

Kalau orang Umno berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir Mohamad menjadi PM selama 22 tahun, maka orang Pas juga perlu berbangga dengan pencapaian Tok
Guru Nik Aziz itu. Bahkan orang Pas patut merasakan mereka merasakan kebanggaan mutlak kerana pencapaian Nik Aziz bukan atas politik adu domba, politik
menggunakan kuasa tetapi politik kesedarhanaan dan tulus ikhlas. Mahathir berjaya menjadi PM kerana kelicitan beliau menyingkir seorang demi seorang kawan
politiknya yang dianggap menjadi musuh tanpa berhati perut.

Mahathir singkir Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu perlawanan penuh misteri dan tertanya-tanya sampai kini tahun 1987. Ada berpendapat kekalahan Tengku
Razaleigh hanya dengan kekurangan 53 undi adalah kekalahan yang palsu. Selepas itu Dr Mahathir menyingkirkan Musa Hitam. Terbaru dan amat menghuruharakan
parti itu menyingkirkan Anwar Ibrahim menerusi satu konspirasi yang memalukan ummah dan negara tahun 1998.

Namun tidak begitu dengan Tok Guruku Nik Aziz. Dia tidak menyingkir sesiapa, dia tidak memanipulasikan kuasa dan kedudukannya untuk terus kekal dan tercokol
di atas kerusinya. Beliau bukan bersikap autokrasi untuk mengekalkan diri atas jemala kekuasaan. Sebaliknya dia diminta dan dirayu oleh rakyat. Disokong
dan didoa oleh rakyat. Jadi sokongan rakyat kepadanya lebih kudus dan murni daripada kekaguman kepada Mahathir Mohamad.

Barang kali tidak melampau kalau dikatakan, jikalau Allah tidak memberi kesempatan Pas memerintah Malaysia, tetapi cukup bagi orang Pas buat ketika ini
menerima kehadiran Nik Aziz sebagai MB Kelantan dan di mana aura kehebatannya turut sama dirasai oleh segenap lapisan rakyat dan jiwa negara ini.

Saya sebagai peminat beliau sedari kecil bebangga atas pencapaian Tok Guru. Syabas dan tahniah. Sebenarnya wajar kalau Tok Guru mampu melalui dua dekad
pentadbiran atau lebih panjang dari itu. Kekuatan yang ada kepadanya bukan memanipulasi kuasa politik tetapi ia adalah rahmat dan pertolongan Allah. Beliau
tidak berlawan dengan musuh menerusi politik struggle tetapi dengan menyerah kepada Allah. Itu saja senjata utama baginya, berdoa dan meminta keredhaan
Allah.

Kalau Nik Aziz mengharapkan kepada kuasa politik semata-mata pasti dia tidak akan sampai ke takah itu. Dia akan mati di tengah jalan. Dia tidak bermain
dengan kuasa politik dan menjadikan nafsu sebagai pengawalnya. Keikhlasannya membimbing dia terus untuk memerintah Kelantan. Sekali lagi doa menjadi senjata
dan perawat sukadukanya. Yang memberi kekuatan dan daya istiqamah yang tinggi.

Dalam melihat perjalanan politik Tok Guru sebagai MB dan ahli siasah, bohonglah kalau di sepanjang dua dekad itu beliau tidak pernah dibaham kedukaan atau
tidak menangis. Atau tidak pernah dioleng rasa cemas dan walang atas permainan pihak musuh.

Atas sifatnya sebagai manusia biasa, beliau juga tidak dapat terlepas dari segala pencaroba itu. Selaku peminatnya dan pendamping secara halimunan saya
menyaksikan akan detik-detik yang memberi cemas kepadanya. Detik-detik menjadikan dia menggeletar dan takut kepada Allah kerana tidak dapat terus menjaga
negerinya sekiranya kekuasaan Islam menerusi Pas hilang.

s320/Nik+Aziz+20+th
Ada dua peristiwa yang berlaku di depan mata dan ini juga dapat dirasai oleh rakyat seluruhnya bagaimana Tok Guru pernah berada dalam keadaan cemas yang
membimbangkan. Pertama ialah ketika berlaku krisis dengan pihak istana Kelantan tahun 1995 selepas Tengku Razaleigh menguburkan Semangat 46 untuk mendakap
semula Umno. Kerana waktu itu istana diperalatkan oleh golongan tertentu telah menganggu Tok Guru Nik Aziz. Tugas dan tanggungjawabnya sebagai MB dicabar
dan diganggu. Matlamatnya satu mahu melemahkan kerajaan Tok Guru.

Dengan krisis ini sehingga berlaku sesuatu yang tidak seharusnya berlaku yang rasanya tidak manis untuk disebut semula di sini. Dalam krisis ini Tok Guru
dihina sebagai manusia dan MB. Beliau seakan akan hilang segalanya, termasuk kerajaan Kelantan. Namun berkat kesabaran dan doa akhirnya krisis itu mereda
dan keadaan kembali pulih. Pihak yang memusuhinya juga akhirnya mengangkat tangan surrender atas kebenaran.

Bayangkan kalau bukan sembarangan, beliau boleh tewas dalam mengharungi krisis berkenaan. Betapa bukan kecilnya krisis itu bila mana seorang MB dinafikan
haknya, maruahnya diinjak bila mana huluran salamnya tidak mahu disambut oleh sultan. Kejadian ini bukan dalam kamar sempit tersembunyi tetapi di khalayak.
Peritiwa itu penakanya mahu melondehkan maruah Tok Guru itu.

Beluam ada sejarah dalam politik negara ini MB yang berkrisis dengan istana dapat meneruskan pentadbirannya. Seorang demi seorang MB yang menghadapi masalah
dengan sultan akhirnya membungkus tikar bantal pulang ke rumah. Namun ini tidak terjadi kepada Tok Guru. Pihak istana yang mendapat nasihat tidak betul
akhirnya kembali ke jalan benar, menerima Tok Guru sebagai memanda menteri semula yang bertakwa dan beriman. Semua ini ialah kerana pendekatan dan sikap
tasamuh diamalkan oleh Tok Guru yang senantiasa berdoa siang dan malam meminta Allah menunjukkan kebaikan kepada semua.

Saat cemas kedua yang saya saksi ialah pada malam keputusan pilihan raya umum ke 11 tahun 2004. Tidak ada detik dan suasana yang saya rasakan telah menelorkan
kerimasan begitu dahysat kepada seorang Tok Guru dan MB. Semuanya kerana Pas kehilangan banyak kerusi. Beliau begitu bimbang sekali Pas akan kehilangan
kerajaan, namun disudut hati kecilnya kalau kehilangan itu demi kebaikan tentu beliau redha.

Sepanjang malam itu di atas pejabat Pas di Jalan Dato' Pati Kota Bharu beliau bersolat hajat dan berdoa kepada Tuhan. Sedulang buah-buahan yang dihidang
untuk menghambat kerisauan sementara menunggu keputusan langsung tidak disentuhnya. Wajahnya juga muram durja. Tatkala ada perkhabaran jahat mengatakan
BN sudah menguasai 2/3 kerusi Dun Kelantan, saya nampak wajahnya pucat dan beliau kelihatan nanar untuk mencari bilik air bagi mengambil wuduk mendirikan
solat bagi mendamaikan jiwa.

Tiada kesayuan pada saya melebihi kesayuan malam itu melihat keadaan Tok Guru. Kalaulah malam itu saya boleh membeli tunai segala keresahan dan kewalangannya,
tentu sekali saya akan memborongnya semua sekali. Tidak rela melihat seorang tok guru semulia dan seikhlas itu berdukadurja begitu. Tetapi, inilah kelebihan
Tok Guru dan orang yang bergantung kepada Tuhan. Baginya apa yang akan berlaku semuanya atas kehendak Allah dan manusia tidak boleh menghalangnya.

Selepas itu tidak ada lagi bala besar yang menimpa dirinya. Kalau pun ada ada cerita-cerita dalaman parti yang boleh membingkitkan telinganya. Semuanya
dapat diatasi dengan sikap tawaqus dan doa memanjang. Sikap adil atas kebenaran dan sikap tegas kerana kebenaran menjadikan ubat atas segala itu. Justeru
mereka yang cuba untu mengkhinatinya menjadi relai dan insaf sendiri.

Paling akhir ialah serangan jahat ke atasnya yang cuba menghancurkan personaliti beliau sebagai seorang tok guru. Serangan ini dibuat berangkaian dengan
serangan ke atas anak menantunya. Tuduhan kononnya beliau menerima rasuah untuk mengerjakan haji adalah satu perbuatan jahat yang sungguh tidak bermoral
dan keji. Ia benar-benar mengilan dan mendukacitakan hati Tok Guru berkenaan. Malahan rakyat Kelantan yang tidak berpihak kepada mana-mana warna (parti)
juga kesal atas fitnah melampau itu.

Sekali lagi atas kesabaran dan kebenaran beliau berjaya mengatasi segalanya. Dan kekecewaan itu telah digandakan pula oleh Tuhan, di mana tahun ini beliau
dikatakan akan mengerjakan haji, bersama Sultan Mohamad Ke 5. Inilah kerja Tuhan yang tidak ada sesiapa dapat membacanya dan menghalangnya. Semalam Tok
Guru di keji dan dihina ataupun dipermainkan, tetapi hari ini esok darjatnya diangkat setinggi-tingginya.

Menilai segala kejayaan, pengorbanan dan kesungguhan Tok Guru menjadi MB dan mentadbir Kelantan selama 20 tahun rasanya tidak terbalas oleh sesiapa pun.
Jasa dan pengorbanan itu sangatlah besar. Hanya Allah jugalah yang boleh membalas. Dan seperti telah dijanjikan apabila genap saja 20 tahun Tok Guru jadi
MB dan membawa Kelantan menerajui perubahan, Allah talaala memberi ganjaran duniawi besar kepadanya dengan mentakdirkan Tengku Mohamad Faris Petra menjadi
sultan Kelantan yang baru.

Gandingan antara Tok Guru dengan Sultan Mohamad Ke V adalah gandingan seperti cekrawala bulan dan mentari. Tok Guru memerintah dengan cahaya kelembutan,
Sultan Mohammad Ke V memerintah dengan cahaya ketegasan dan keadilan. Dan ciumanku di perkarangan hotel Fully Inn Gua Musang malam kelmarin adalah ciuman
kasturi sebagai cederahati dari seorang marhaen kepada seorang memanda kesayangan Sultan."

Terima kasih kepada pemilik blog tersebut atas nukilan beliau dan keizinannya untuk saya menyalinnya ke blog ini.

Ahad, 17 Oktober 2010

TERJEMAHAN SURAH LUQMAN

[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]
Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik
[4]
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.
[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[6]
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat
menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu
sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
[7]
Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah
dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
[8]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,
[9]
kekalan mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah – janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[10]
Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak
menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis
tanaman yang memberi banyak manfaat.
[11]
Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang
kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
[12]
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya
kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[13]
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
[14]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung
hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15]
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya
maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali
kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang
kamu telah kerjakan.
[16]
(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat
bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya);
kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17]
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah
atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18]
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19]
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
[20]
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada
kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.
[21]
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab:” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut
apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan
yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?
[22]
Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada
simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.
[23]
Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian
Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di
dalam dada.
[24]
Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat
berat.
[25]
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka
akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah),
bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).
[26]
Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[27]
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya
tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa
sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[29]
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan
bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[30]
Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa
segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya).
[31]
Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda
kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya,
lagi sentiasa bersyukur.
[32]
Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada
saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka
ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari
bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.
[33]
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya
dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu
adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan
kamu berani melanggar perintah Allah.
[34]
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya
tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau
jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

Rabu, 6 Oktober 2010

Hukum menerima wang sumber tidak jelas: Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama
atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan,
nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat.
Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan,
rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka
adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang
sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara
halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan,
derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah
atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah
warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit.
Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain
itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak
berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya,
pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah,
Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh
Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada
orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab,
hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil
untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu)
(Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga
apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju
faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin,
ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan
kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita
(pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan
dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang
ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya
dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi
mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama
dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai
pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila
Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda  yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan
ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan
jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini
di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri,
syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih
ada yang neutral dan halal.
* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan
mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan
penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah,
riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari
pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.
-----------------------------------------------
Daripada www.zaharuddin.net