Ahad, 26 September 2010

Percubaan Mencuri Jasad Rasulullah

Di masa peperangan antara orang Islam dengan orang-orang kafir Kristian yang dikenali
dengan perang Salib dan telah berlangsung sekian lama. Kemenangan dan kekalahan silih
berganti pada kedua belah pihak. Umat Islam berjuang dengan habis-habisan menentang
musuhnya. Segala kekuatan dikerahkannya. Kerana pada waktu itulah kesempatan yang
paling baik untuk memperolehi syahid di medan perang sebagaimana yang diperolehi
para sahabat Rasulullah dalam perjuangan menentang orang kafir yang cuba melenyapkan
Islam.
Raja-raja dari semua kerajaan Islam memberikan sokongan padu kepada setiap panglima
perang yang tampil memimpin para pahlawan Islam menentang kaum kafir Kristian yang
datang dari Eropah. Salah seorang raja yang banyak jasanya dalam perang Salib ini
adalah Sultan Nuruddin Zangki (Zenggi), keturunan bangsa Kurdi dan berkedudukan di
Mosul. Baginda yang diputerakan tahun 1118 Masihi dan wafat 1174 Masihi, adalah seorang
raja yang terkenal taqwa, wara’ dan adil. Kerana keadilannya pula hingga digelari
Malikul Adil (Raja yang adil). Pada waktu malam baginda bangun untuk solat tahajjud
dan berdoa agar rakyatnya hidup bahagia dalam keredhaan Allah dan terselamat di akhirat
nanti. Pada sebelah siang beliau banyak berpuasa dan selepas solat, wiridnya sentiasa
panjang.
Seluruh kekuatan yang dimilikinya adalah untuk menentang serangan tentera Salib agar
tidak dapat menjajah negara Islam. Beliaulah yang membentangkan jalan kepada Shalahuddin
Al-Ayyubi, panglima perang Salib di pihak Islam yang telah berjaya membebaskan bumi
Palestin dari cengkaman kaum Salib. Baginda sentiasa tenang dan gembira melayan semua
rakyat dan menteri-menterinya, sekalipun negara dalam keadaan darurat perang, kerana
beliau sudah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW pada suatu malam. Dalam mimpi itu Sultan
Nuruddin melihat Rasulullah dalam keadaan gembira, menandakan perjuangan kaum Muslimin
yang dipimpinnya dalam berjihad akan berhasil.
Selanjutnya, suatu hari Malikul Adil kelihatan tidak seperti biasanya, kali ini baginda
nampak sangat risau, seolah-olah ada yang tidak kena pada dirinya. Menteri-menterinya
menyedari hal ini, namun mereka tidak berani bertanya. Kerisauan dan kegelisahan
tersebut berpunca daripada mimpinya beberapa malam yang lalu. Mimpi itu sangat mengerikan
dan sukar ditafsirkan. Dalam mimpi itu, baginda memakai baju yang cantik gemerlapan
dan berada di hadapan Rasulullah. Rasulullah memegang tangan Nuruddin dan menunjuk
kepada dua orang lelaki yang berada di hadapannya dan bersabda: “Kenalilah aku. Bebaskan
aku dari dua orang itu!” Nuruddin terbangun, namun wajah Rasulullah dan dua orang
lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya seperti bukan mimpi. Wajah kedua lelaki
itu kelihatan kemerah-merahan.
Tidak seorang pun yang diberitahu tentang mimpi itu, dan beliau yakin bahawa yang
datang itu benar-benar Rasulullah SAW. Kerana beliau sendiri telah bersabda: “Siapa
yang melihat aku dalam mimpi, samalah ertinya dengan melihat aku di waktu bangun,
kerana syaitan tidak akan dapat menyerupai aku.” Keyakinan Raja Nuruddin akan kesahihan
mimpinya itu dikuatkan lagi oleh mimpinya yang dahulu sehubungan dengan peperangan.
“Ketika itu Rasulullah kelihatan sangat gembira sekali. Tapi mengapa kali ini baginda
kelihatan amat sedih? Dan siapakah gerangan dua lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah
itu?” Nuruddin tidak habis-habis merenung dan berfikir: “Ah, ini tentu ada yang tidak
mengena pada keperibadian Baginda yang mulia atau akan ada sesuatu yang mengancam
maruah umat Islam,” kata Nuruddin dalam hatinya.
Dekat seminggu lamanya Raja adil itu memikirkan dengan risau. Tiba-tiba mimpi itu
berulang lagi, peristiwa seperti mimpi yang pertama dan Rasulullah memanggil-manggil
Nuruddin lagi: “Kenalilah aku dan bebaskan aku dari dua orang itu!” Baginda terkejut
dan bangun kemudian langsung berwudhu’, terus bersolat tahajjud dan berzikir sebanyak-banyaknya
di malam sunyi itu. Kerana terlalu lama berzikir, baginda tertidur dalam duduk dan
wajah Rasulullah menjelma lagi. Dalam masa yang tidak seberapa lama, sudah tiga kali
beliau berjumpa Rasulullah dalam keadaan muram. “Perkara ini benar-benar serius agaknya
dan tidak boleh ku simpan seorang sahaja,” kata Nuruddin pada dirinya sendiri. Apabila
baginda tergerak hatinya untuk memanggil orang kepercayaannya, baginda teringat akan
sabda Rasulullah: “Bahawa apabila seseorang bermimpi buruk, hendaklah jangan diceritakan
kepada sesiapa pun. Insya Allah tidak akan terjadi apa-apa.” Nuruddin berfikir sekejap.
Sanggupkah dia menyimpan mimpi itu seorang diri? Tidak, mimpi itu sudah tiga kali
datang, dan yang datang adalah manusia termulia.
Selepas solat Subuh di pagi hari Raja Nuruddin memanggil seorang menteri kepercayaannya,
Jamaluddin Al-Mushly. Lelaki itu sangat wara’, taqwa dan amanah seperti Rajanya juga.
Oleh kerana itu, dialah satu-satunya orang yang dipanggil oleh Nuruddin sehubungan
dengan mimpinya. Kerana Nuruddin yakin, bahawa walau bagaimanapun Jamaluddin tidak
akan membocorkan rahsia negara dan raja. Hari masih terlalu pagi, suasana masih gelap,
di sana sini kedengaran kokok ayam silih berganti dan waktu kerja pun masih lama
lagi akan bermula. Namun menteri Jamaluddin Al-Mushly sudah berangkat ke istana negara
kerana menjunjung titah baginda.
“Engkau adalah orang yang paling ku percaya untuk menyimpan rahsia negara selama
ini. Oleh kerana itu aku tidak merasa ragu lagi menceritakan mimpiku padamu,” kata
Raja kepada Jamaluddin dan menceritakan mimpi yang dialaminya. Jamaluddin mendengarkan
dengan serius. Ia sendiri turut merasa gerun mendengarkan cerita Rajanya. Kemudian
Jamaluddin berkata: “Ini memang betul-betul mimpi yang benar wahai tuanku, kerana
syaitan tidak akan dapat menyerupai Rasulullah.” “Betul itu. Aku pun ingat demikian,”
kata Nuruddin menyokong pendapat Jamaluddin. Nuruddin bertanya: “Jadi, agak-agak
apakah pendapatmu tentang mimpiku itu.” Jamaluddin menjawab: “Menurut pendapat hamba,
ada rancangan jahat dari orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah
tidak menyenanginya. Tuanku diberi tugas untuk menggagalkan rancangan jahat tersebut.”
Nuruddin seolah-olah dikeluarkan dari kebuntuannya setelah mendengar tafsiran daripada
Jamaluddin. Baginda percaya bahawa pendapat menterinya itu benar belaka. Berkata
Nuruddin: “Pendapatmu betul, sekarang ke mana dan bagaimana kita mesti mencari dua
lelaki yang ditunjuk oleh Rasulullah itu?” Jamaluddin mengajukan usul: “Bagaimana
kalau sekiranya baginda raja yang pergi ke Madinah Al-Munawwarah terlebih dahulu.
Di sanalah tuanku dapat berdoa di makam Rasulullah yang mulia, memohon petunjuk kepada
Allah di sisi kubur kekasihNya. Mudah-mudahan, di sana tersingkap rahsia mimpi paduka
itu.”
Semua persediaan dan perbekalan segera dipersiapkan. Maka pada hari yang telah ditetapkan,
beribu-ribu rakyat ibu kota berpusu-pusu di hadapan istana negara untuk mengucapkan
selamat jalan kepada Raja yang mereka hormati. Berangkatlah Raja yang adil bersama
beberapa pegawai tinggi negara menuju Madinah.
Di setiap kampung yang dilaluinya, baginda disambut mesra oleh rakyatnya. Baginda
merasa puas dapat berjumpa dengan berbagai rakyatnya. Rakyat pun berasa gembira melihat
Raja yang berjiwa rakyat dan tidak putus-putusnya tersenyum kepada semua rakyat.
Namun, di sebalik senyuman raja yang dilepaskan kepada rakyatnya, ada perasaan risau
dan ngeri yang menghantui baginda secara berterusan. Yakni wajah kedua lelaki yang
dilihat dalam mimpinya selalu membayangi kemana sahaja baginda pergi. Tidak sesaat
pun wajah itu hilang dari pandangan baginda. Baginda juga dapat menggambarkan dengan
jelas tentang perwatakan kedua lelaki itu baik dari bentuk wajahnya, matanya, susunan
giginya, mulutnya, janggutnya bahkan kesemua seluruh tubuh kedua mereka itu. Kalau,
kedua lelaki itu melintas di hadapan baginda maka sudah pasti, baginda akan menangkapnya.
Disebabkan baginda sentiasa asyik memikirkan tentang kedua lelaki itu, kadang-kadang
baginda terpisah dari rombongannya. Baginda tidak putus asa untuk mencari kedua lelaki
itu, baginda pergi secara persendirian mengembara antara bukit-bukit.
Para pengawal tidak berani menegur apa-apa sebaliknya mereka hanya memerhatikan Raja
mereka dari jauh. Hanya menteri Jamaluddin sahaja yang sesekali mengingatkannya apabila
beliau terpisah jauh dari rombongan. Setelah beberapa hari perjalanan, rombongan
baginda sampai di sempadan Madinah. Jamaluddin memberitahu baginda: “Tuanku, sekejap
lagi kita akan memasuki ke kota Rasulullah SAW, oleh itu bersiap sedialah tuanku.”
Berkata Raja: “Apakah cara yang harus aku lakukan untuk memasuki kota yang mulia
itu?” Berkata Jamaluddin: “Pertama hendaklah tuanku mandi dan bersuci, kemudian masuklah
ke masjid Quba’ dan bersolat tahiyyatul masjid, ini adalah untuk menghormati masjid
yang dibina dengan tangan Rasulullah SAW sendiri.” Kemudian Raja dan rombongannya
mengikut arahan Jamaluddin, setelah selesai mengerjakan solat di masjid Quba’, rombongan
diraja menuju ke taman Raudhah. Di taman yang mulia inilah jenazah yang teramat mulia
Rasulullah SAW bersemadi.
Perasaan mereka yang berada di hadapan tempat jenazah baginda Rasulullah SAW disemadikan
adalah amat berlainan sekali, mereka berasa seolah-olah berada di satu alam yang
lain. Lalu Raja mengangkat tangannya tinggi-tinggi dan memohon kepada Allah SWT supaya
rahsia di sebalik mimpinya itu di perlihatkan kepadanya sebelum kedua manusia jahat
melaksanakan niat jahat mereka. Degupan hati Raja yang begitu khusyuk dalam doanya
menyebabkan air mata mengalir tanpa disedarinya. Memang di sinilah salah satu tempat
diperkenankan doa. Wajah Rasulullah SAW semakin jelas di mata Raja seolah-olah Rasulullah
SAW menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Raja. Baginda terdengar suara dekat
telinganya yang berbunyi: “Kenalilah aku, dan bebaskanlah aku dari kedua lelaki ini.”
Setelah baginda raja berdoa dengan penuh khusyuk di taman Raudhah, kemudian datang
petunjuk dari Allah seolah-olah beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya itu di kota
mulia tempat bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja Nuruddin ingin segera
mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu, lalu beliau memanggil gabenor Madinah
dengan berkata: “Saya mahu kamu kumpulkan kesemua penduduk Madinah tanpa ada sesiapa
pun yang dikecualikan, saya ingin bersalaman dengan mereka.” Berkata gabenor Madinah:
“Baik tuanku, segala titah raja akan dijalankan.” Gabenor Madinah pun segera menyampaikan
pesanan raja kepada penduduk Madinah dan penduduk yang berhampiran dengan kota Madinah.
Berkata gabenor Madinah kepada penduduk kota Madinah dan sekitarnya: “Atas perintah
Raja Nuruddin, semua rakyat Madinah dan kawasan yang berhampiran denganya, sama ada
lelaki atau wanita, tua atau muda dari berbagai jenis agama dikehendaki hadir di
dewan orang ramai, kerana baginda Raja Nuruddin hendak bertemu dengan semua penduduk
di sini.” Setelah berita disebarkan maka orang ramai bersama seisi keluarga segera
pergi ke dewan orang ramai dengan perasaan gembira, tidak seorang pun yang tertinggal.
Mereka yang tua dan uzur diusung sehingga banyak sekali usungan yang kelihatan dalam
perjalanan menuju ke dewan orang ramai. Apabila seluruh penduduk kota Madinah telah
berkumpul, gabenor Madinah pun melapurkan kepada Raja: “Tuanku, semua rakyat telah
berkumpul dan mereka sedang menunggu kehadiran tuanku.” Berkata Raja Nuruddin: “Apakah
kamu yakin bahawa semua rakyat telah datang untuk bersalaman dengan saya?” Berkata
gabenor Madinah. “Insya Allah.” Setelah Raja mendengar penjelasan dari gabenor, Madinah,
maka Raja pun segera pergi ke tempat orang ramai yang sedang menunggunya. Wajah kedua
lelaki yang datang dalam mimpinya semakin mencabar di hadapannya.
Setelah baginda Raja sampai di tempat dewan orang ramai, maka baginda pun memandang
kepada rakyat sebagai penghormatan. Mata Raja Nuruddin sentiasa mencari-cari wajah
yang menjadi buruannya, tetapi tidak juga kelihatan. Raja Nuruddin semakin risau,
beliau duduk sekejap dan berbincang dengan pegawai-pegawai dari Madinah. Berkata
Raja, Nuruddin: “Apakah masih ada rakyat yang melepaskan peluang untuk bertemu dengan
saya? Cuba siasat sekali lagi.” Kemudian para pegawai dari kota Madinah berbincang
sesama mereka, mereka cuba mengingati wajah-wajah yang tidak hadir. Tiba-tiba seorang
pegawai berkata dengan serius dan bersemangat: “Betul tuanku, hamba ingat masih ada
dua orang kenamaan di Madinah yang tidak hadir di sini, mungkin kedua mereka tidak
mendengar berita tentang ketibaan baginda tuanku ke sini.”
Raja Nuruddin berkata: “Di mana mereka berada, dan siapakah mereka itu?” Denyutan
jantung Raja Nuruddin semakin cepat, tetapi beliau menahan perasaannya. Orang yang
mengenali kedua lelaki itu berkata: “Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli
hikmah, sangat wara’ dan sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja yang pergi kepada
mereka akan menerima fatwa-fatwa yang menyejukkan dan menerima sedekah. Dan kedua
mereka juga adalah dermawan dan telah banyak sekali membantu fakir miskin.” Raja
Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya dan beliau berkata: “Saya ingin
sangat untuk bertemu dengan kedua mereka, jemputlah mereka sekarang juga.”
Tidak berapa lama kemudian kedua mereka itu pun datang ke dewan orang ramai setelah
diundang. Kedua mereka berjalan dengan tunduk dan tawadhu’, sementara mulut mereka
tidak berhenti-henti berzikir kepada Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri di hadapan
Raja Nuruddin, Raja Nuruddin terperanjat kerana kedua mereka itulah yang muncul dalam
mimpinya. Dalam hati Raja Nuruddin berkata: “Demi Allah orang inilah yang datang
dalam mimpiku.” Walaupun kedua mereka itu berada di hadapan beliau, beliau belum
pasti sama ada beliau bermimpi atau tidak, lalu beliau menggosok kedua biji mata
beliau dan dibukanya mata beliau terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak mimpi,
beliau kini berada betul-betul di hadapan orang yang menjadi buruan beliau. Raja
Nuruddin memandang mereka dari semua segi, dari segi bentuk muka mereka, susunan
gigi, mata dan lain-lain. Akhirnya beliau meyakini dengan seratus peratus bahawa
memang sah kedua lelaki itulah yang muncul dalam mimpinya. Kalau ikutkan hati Raja
Nuruddin hendak ditanya sahaja: “Siapakah kamu berdua ini.” Raja Nuruddin bertambah
hairan melihat kedua mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk dan
tawadhu’, gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.
Segi rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah. Sewaktu bersalaman
menunjukkan adab seorang alim dan ahli tasawwuf, tutur katanya pula penuh hikmah
dan selalu berasaskan Al-Quran dan Al-Hadith. “Tetapi mengapa Rasulullah minta dibebaskan
dari dua orang itu? Apakah dosa yang telah diperbuat oeh keduanya? Begitulah pertanyaan
yang keluar dari hati Raja Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa yang hendak
dibuat, namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca perasaan Raja Nuruddin.
Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai mengenali kedua mereka sebagai orang
yang alim dan menunjukkan sikap yang penuh tasawwuf, baginda Raja juga menghormati
kealiman dan ketasawwufan mereka. Oleh kerana Raja Nuruddin tidak dapat membuat apa-apa
keputusan maka majlis pada hari itu bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan
semua rakyatnya seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang pertama
selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati kerana dapat bersalam
dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa sangat gembira kerana majlis itu mendapat
sambutan yang sungguh menggalakkan. Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah
Raja Nuruddin, kerana teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.
Selepas menunaikan solat Raja Nuruddin beristighfar dan berzikir banyak-banyak, kemudian
beliau berdoa dengan doa yang amat panjang, dalam doa tersebut beliau meminta petunjuk
yang lebih jelas dari Allah SWT. Ketika Raja Nuruddin duduk bersendirian, lalu datang
menterinya Jamaluddin dengan berkata: “Wahai tuanku, sudahkah tuanku jumpa dengan
dua lelaki yang tuanku cari itu?” Berkata raja Nuruddin: “Ya, sudah.” Jamaluddin
bertanya: “Yang mana satu tuanku?” Berkata Raja Nuruddin: “Jemputan yang terakhir
sekali, saya pasti itulah orang yang ditunjuk oleh Rasulullah SAW dalam mimpiku.”
Jamaluddin diam sambil mengangguk-anggukkan kepalanya, pertanda dia sedang memikirkan
sesuatu. Berkata Raja Nuruddin: “Tapi yang peliknya saya tidak dapat sesuatu yang
mencurigakan pada diri mereka itu, keadaan keduanya memang seperti yang diceritakan
oleh orang. Akhlaknya, gerak-gerinya dan tutur katanya semuanya menggambarkan keperibadian
Rasulullah SAW. Inilah yang membuat saya rasa pelik sangat, entah dosa apa yang telah
mereka lakukan?”
Setelah Jamaluddin mendengar kata-kata Rajanya maka dia pun berkata: “Tuanku, ketahuilah
bahawa seseorang yang pada zahirnya menunjukkan baik, segalanya mengikut cara Rasulullah
SAW belum tentu hatinya baik. Boleh jadi ia hanya berpura-pura supaya orang ramai
tidak mencurigainya, padahal dia adalah musuh yang jahat.”
Berkata Raja Nuruddin: “Betul katamu itu, kerana memang ramai orang-orang kafir berpura-pura
Islam, sedangkan tujuannya untuk menghancurkan Islam dari dalam. Allah SWT telah
berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada yang ucapannya
tentang kehidupan dunia, sangat menarik perhatianmu, dan di persaksikannya Allah
(atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia sebenarnya adalah musuh yang jahat.”
Raja Nuruddin memang tahu tentang tipu helah orang-orang kafir yang sentiasa hendak
merosakkan Islam dengan berbagai cara. Berkata Raja Nuruddin lagi: “Apakah yang harus
kita lakukan?” Berkata Jamaluddin: “Tuanku mestilah mengadakan perisikan ke rumah
orang itu secara sulit.” Raja Nuruddin dan menterinya Jamaluddin mengadakan perbincangan
secara rahsia tentang cara yang terbaik untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan
kedua lelaki yang disyaki. Setelah sekian lama mereka berbincang akhirnya mereka
mendapat satu cadangan yang baik, yakni orang ramai dijemput untuk menghadiri rumah
terbuka atas arahan Raja Nuruddin.
Kedua orang yang disyaki juga diundang sebagai tetamu kehormat. Rahsia ini tetap
menjadi rahsia antara Raja dengan menterinya. Gabenor Madinah diberikan tugas untuk
menjayakan majlis tersebut. Setelah saat yang dinantikan telah tiba, maka ramailah
orang yang datang menghadiri majlis tersebut. Kedua lelaki yang disyaki juga awal-awal
lagi telah berangkat menuju ke majlis diraja. Apabila Raja Nuruddin dan Jamaluddin
melihat kedua lelaki alim itu telah keluar dari rumah mereka, kemudian Raja Nuruddin,
Jamaluddin dan beberapa pengawal pergi ke rumah orang alim itu. Kesemua bahagian
dalam rumah itu di periksa oleh Raja Nuruddin, malangnya tidak satu pun benda yang
mencurigakan. Sebaliknya dalam rumah tersebut terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran
yang digantung dan juga hadith nabi. Dalam almari orang alim itu dipenuhi dengan
kitab-kitab agama feqah dan juga tasawwuf, keadaan rumah itu menggambarkan seolah-olah
pewaris Nabi SAW. Hati kecil Raja Nuruddin masih bertanya: “Apalagi yang harus aku
syaki? Kenapa Baginda Rasulullah SAW minta pertolongan dariku supaya dibebaskan dari
kedua lelaki ini?”
Setelah merasa puas dengan selidikan di rumah tersebut Raja Nuruddin mengambil keputusan
untuk keluar dari rumah tersebut, tetapi apabila baginda Raja hendak melangkah keluar
dari rumah tersebut, datang ilham yang membuat beliau teringin benar untuk melihat
sebuah permaidani yang sangat indah terbentang di sudut rumah. Raja Nuruddin merasa
sangat kagum dengan keindahan dan kehalusan permaidani yang di anggap cukup mahal
itu.
Raja Nuruddin tidak puas dengan melihat sahaja kecantikan permaidani tersebut, tetapi
beliau membelek-belek permaidani tersebut. Sewaktu membelek permaidani itu Raja Nuruddin
terlihat di bawah permaidani itu terdapat papan dan beliau berkata: “Eh, ada papan.”
Raja Nuruddin mulai curiga tentang papan itu, lalu baginda mengangkat papan itu perlahan-lahan,
ternyata di bawah papan itu mempunyai sebuah terowong yang mempunyai tangga. Raja
Nuruddin meneliti arah perginya terowong tersebut, akhinya beliau terkejut dan berkata:
“Maasya Allah, terowong ini menuju ke arah kubur Rasulullah SAW.” Kemudian Raja Nuruddin
mengeluarkan arahan: “Tangkap kedua orang itu.” Dengan terbongkarnya rahsia itu maka
yakinlah Raja Nuruddin akan makna mimpinya itu, kedua lelaki yang menyamar sebagai
alim itu adalah musuh yang hendak mencuri jasad Rasulullah SAW. Dengan terbongkarnya
rahsia kedua orang itu, maka orang ramai pun datang untuk menyaksikan peristiwa di
rumah orang alim itu.
Beberapa orang telah turun ke dalam terowong yang sangat jauh itu dan akhirnya mereka
mendapati bahawa terowong yang digali oleh kedua orang itu sudah hampir benar dekat
pada jasad Rasulullah SAW. Setelah mendapat kepastian dari orang yang masuk ke dalam
terowong itu, orang ramai tidak tahan sabar lagi. Lalu kedua-dua mereka dipukul dengan
teruk sekali, kemudian kedua mereka dibawa ke pengadilan. Dalam mahkamah keduanya
berterus terang dengan berkata bahawa kedua-dua mereka telah tinggal di Madinah lebih
dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang-orang Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup
banyak pada keduanya untuk tujuan mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya
ialah apabila jasad Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka dengan mudah dapat
merendahkan martabat Kekasih Allah dan seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam
di Madinah rasa tertipu oleh kedua orang Yahudi itu, akhirnya kedua orang Yahudi
itu dijatuhi hukuman mati.
Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang diberikan oleh Rasulullah
SAW kepadanya telah berjaya diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya.
Untuk mengelakkan supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi, Raja Nuruddin
memerintahkan supaya ke empat penjuru sekeliling kubur Rasulullah dipagar dengan
kongkrit sampai ke bawah tanah. Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari Madinah sekali
lagi beliau bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali ini Rasulullah merangkul
dan memeluk leher beliau. Apabila telah tiba masanya Raja Nuruddin hendak meninggalkan
kota Madinah, beliau memberi taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan
dan dendam orang Yahudi terhadap Islam, dendam orang Yahudi terhadap Islam akan berterusan.
Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan diiringi doa dan air mata oleh sekalian
rakyat yang mencintainya.
Allahu a’lam..

Sabtu, 18 September 2010

Memperingati penyembelihan di Sabra, Shatila: Haluan Palestin

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam
daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.

Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel atas
arahan secara langsung oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada
krisis militia Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan.

Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis yang mengawal perimiter kem-kem
tersebut membiarkan sahaja keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.

Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan terkubur di bawah runtuhan
bangunan. Ratusan mangsa serangan yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri, yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib
mereka.

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka membantu puak militia Palangist dengan
tembakan-tembakan cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983 memutuskan bahawa Sharon telah bersalah
secara langsung kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam. Tentera Sharon
juga membekalkan senjata dan peralatan kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk membawa masuk militia.

Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia, termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan
PBB terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang ternyata bersalah.

PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521 (19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun
tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium memutuskan untuk membicara kes jenayah perang ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut
sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003, memandangkan tidak seorangpun daripada mereka yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium,
Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin. (mn/Maan)

Jumaat, 3 September 2010

Isu masjid: Usaha musuh Pakatan gagal

Oleh Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com   

Usaha beberapa ulama dan para pemimpin PAS mengemukakan hujah Al-Quran dan Sunnah yang mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid, setelah mendapat
izin pihak berkenaan, telah dapat membersihkan imej Islam yang dikotori golongan tertentu.

Malah telah mempererat lagi hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat serta menggagalkan usaha mereka memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan
pelbagai isu yang bersifat fitnah, tuduhan dan rangkaian kata-kata karut marut yang disebarkan dalam media tradisional yang dikuasai golongan itu.

Tokoh ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Dr. Muhd Nur Manuty, Dr. Dzulkifly Ahmad, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan lain-lain serta para tokoh
pemimpin PAS, Haji Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain telah benar-benar membantu menjernihkan keadaan, di samping memperlihatkan wajah Islam sebenar
kepada anggota Pakatan Rakyat.

Dengan itu, gagallah usaha musuh politik Pakatan Rakyat – Umno/BN – untuk memporakperandakan Pakatan Rakyat dengan menaburkan isu karut marut yang sangat
berbau perkauman dan kebencian.

Malah kita terkesan juga bahawa umat Islam sendiri kebanyakannya faham hal ini dan tidak terpedaya dengan isu palsu yang ditimbulkan. Masjid dan surau,
kuliah-kuliah, tazkirah tidak lansung membangkitkan isu ini  bahkan melawan balik – suatu isyarat bahawa umat Islam sedar isu ini hanya 'permainan' golongan
politik sekular yang bangkrap idea.

Bahkan susana Bazaar Ramadan sendiri – tempat rakyat biasa pelbagai kaum dan agama – tetap harmonis, dengan pelbagai golongan rakyat membeli pelbagai juadah
dengan wajah ceria, seperti tidak terkesanpun dengan berita palsu yang karut marut.

PAS telah berdiri gagah menampilkan kebijaksanaannya dengan mengemukakan pandangan Islam yang sebenar mengenai isu palsu yang dibangkitkan itu, iaitu seperti
isu khatib dikatakan berdoa kepada pemimpin bukan Islam, isu wakil rakyat bukan Islam mengunjungi masjid dan surau untuk menyampaikan bantuan dan berucap
pendek.

Pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat dari kalangan Islam dan bukan Islam mendapat fahaman Islam yang cukup jelas mengenai isu ini dengan penerangan para
tokoh in. Sementara ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Dr. Muhd Nur Manuty, Dr. Asri Zainal Abidin dan lain-lain telah menjernihkan imej
Islam yang dikotori oleh golongan tertentu. Tokoh ulama berwibawa ini telah mengemukakan hujah ilmu mereka berdasarkan hujah Al-Quran, sunnah dan hadis.


Setakat ini, para tokoh Umno/BN dan penyokong serta ‘ulama’ mereka tidak mampu mengemukakan hujah ilmu untuk mempertahankan sikap mereka. Kenyataan demi
kenyataan mereka hanya berupa rangkaian tuduhan karut marut yang berbau politik kepartaian, perkauman dan prejudis, tidak lebih dari itu.

Ini menunjukkan kedangkalan ilmu Islam mereka, tetapi malangnya pandanga mereka ini benar-benar merosakkan imej Islam.

Saya memetik pandangan tokoh ulama berwibawa, Dr. Muhd Nur Manuty mengenai hal ini. Dalam sebuah kenyataan beliau berkata:

“Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai persoalan orang bukan Islam masuk dalam masjid. Pertama: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki
semua masjid.

Kedua: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

Ketiga: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.
Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana dharurat kerja.”

Menurut Dr. Muhd Nur Manuty lagi, beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang bukan Islam
masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh
Nabi s.a.w untuk menunaikan solat mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: “Biarkan mereka (untuk menyelesaikan sembahyang mereka)”

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini.

Hakikatnya, kata beliau, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid biasa dengan syarat tertentu seperti keperluan
mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, tambah beliau lagi, adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya.
Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al- Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di negara ini.

Lebih jauh lagi, kata Muhamad Nur Manuty, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan
Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat yang telah ditentukan.

Menurut beliau, amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai
positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara
umat Islam dan bukan Islam.

Sewajarnya, para wakil rakyat Pakatan Rakyat perlu diberikan pujian kerana kesungguhan mereka dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat
majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil
Kerajaan Negeri Selangor.

“Kekecohan yang digembar-gemborkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam.
Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu,” kata beliau.

Lebih-lebih lagi, katanya, berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan.

Dr. Muhamad Nur sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman
dan agama ala Umno ini. Ini kerana ia akan menjadikan kita semakin lesu sementara masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita.

Hakikatnya, kata beliau lagi, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya
secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan.

Dipetik dari:

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28449:isu-masjid-usaha-musuh-pakatan-gagal&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

Ahad, 29 Ogos 2010

ORANG BUKAN ISLAM DENGAN MASJID

Sekali-sekali fikir, tertanya juga dalam diri sejak bila pula UMNO ini begitu perihatin dengan masjid dan surau dan tahu menghormati kemuliaan dan kesucian Islam. Saya sebut UMNO bukan Ahli UMNO.

Sejak saya kenal erti buruk baik dan tahu akan keperluan dan kepentingan masjid dalam masyarakat Islam, UMNO tak begitu mengambil berat tentang perjalanan masjid. Apa yang mereka tahu hanyalah membina masjid kerana membina masjid boleh memberi laba kepada mereka. Bayhangkanlah nilai sebuah masjid bukanlah bernilai satu ratus atau dua ratus ringgit tapi jutaan ringgit. Peratusan yang mungkin diraih oleh kontraktor UMNO dan pemimpin UMNO mungkin mencecah ribuan ringgit atau lebih.. Lepas bina masjid mereka pun hilang dan hanya datang sekiranya ada mesyuarat pemilihan jewatankuasa masjid atau surau untuk meraih jawatan dan kemudiannya hilang semula.

Itulah UMNO dengan masjid dan perkara ini sedikit sebanyak telah memberi kesempatan kepada mereka yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan masjid dan akibatnya UMNO kalah dalam pilihanraya pada 2008 lalu. Perkara inilah yang harus difikirkan oleh UMNO bukan sebuk bercakap tentang kehadiran dua orang wakil rakyat Pakatan Rakyat masuk ke surau dan masjid seperti yang berlaku di Serdang dan Selayang oleh ADUN dan Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Kehadiran dua orang wakil rakyat Pakatan rakyat itu adalah bertujuan untuk menyampaikan bantuan kepada dua tempat berkenaan dan sesuai dengan peranan mereka sebagai wakil rakyat. ADUN Serdang dikatakan masuk ke ruang solat dan memberi tazkirah seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia. Begitu juja denga Ahli Parlimen Selayang telah masuk ke masjid Di Selayang Baru atas keisinan orang melayu juga, lapor Utusan Malaysia (mana lagi kalau bukan akhbar mangkok hayun ini).

Satu perkara yang harus difikir oleh kita semua dalam hal ini adalah bagaimana mereka yakni dua wakil rakyat Pakatan Rakyat ini boleh masuk ke tempat solat tersebut. Jawapannya adalah kerana dua kawasan tersebut bukan lagi kawasan UMNO-BN. Kenapa sewaktu kamu menjadi wakil rakyat dahulu kamu tidak melakukan perkara yang sama dan ketika itu seandainya wakil MCA atau Gerakan melakukan perkara yang sama maka adakah MCA dan Gerakan akan diserang dengan cara yang sama. Politik Pakatan Rakyat dan UMNO-BN tak sama lantas janganlah dinilai sesuatu dari kaca mata yang sama iaitu kaca mata UMNO-BN.

Sepatutnya, UMNO harus berfikir bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada mereka dan kemudian barulah mereka boleh masuk balik ke tempat yang mereka tak pernah masuk dulu.

Majlis fatwa sendiri telah memberi keharusan untuk pelancung bukan Islam masuk ke masjid termasuk dalam ruang solat dan berikut adalah teks keputusan tersebut.

"Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum
Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid
dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah
dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap
tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah
ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana
konsepnya adalah berbeza."

Kalau pelancung boleh dibenarkan untuk melihat keadaan dalam masjid maka bagi saya seorang wakil rakyat lebihlah lagi patut mendapat kebenaran kerana mereka masuk sebagai sifatnya pemimpin setempat. Bagi saya ini adalah satu lagi kejayaan da'wah kepada orang bukan Islam di Malaysia kerana kalau dulu orang bukan Islam begitu serba salah untuk jangankan masuk malah berada dberhampiran dengan masjid pun menggusarkan mereka. Kini, kita telah membuka ruang untuk mereka melihat sendiri keindahan Islam melalui masjid yang moga dengan itu akan membuat hati mereka untuk lebih memahami Islam kalau pun tidak menganutinya.

Kenyataan Pengarah JAIS yang menyebut bahawa orang bukan Islam tidak boleh masuk ke masjid khususnya ruang Solat kerana mereka berkeadaan berhadas besar amat memalukan. Kenyataan ini begitu menjatuhkan maruah orang bukan Islam kerana kalau mereka kurang faham tentang hadas besar mereka akan merasa begitu terhina kerana dipandang kotor oleh orang Islam.

Segala hukum yang ada dalam syariat Islam adalah tertanggung kepada orang Islam dan bukannya orang bukan Islam. Walau pun orang yang baru masuk Islam, salah satu perkara yang perlu dilakukan seawal mungkin adalah mandi untuk mengangkat hadas tetapi hukum itu jatuh setelah mereka mengucapkan dua kalimah Syahadat bukannya mandi dulu baru mengucap. Hujah ini sahaja talah menggambarkan betapa mereka yang tidak atau belum Islam tidak akan tertanggung segala hukum Islam kerana mereka tidak ada kaitan langsung dengan ajaran dan peraturan agama ini. Sebab itulah apabila Karpall Singh mempersoalkan hudid maka beliau tidak berdepan dengan apa-apa resiko sedang kalau kita orang Islam bercakap sebagaimana yang diucapkan oleh Karpall itu maka kita boleh jadi murtad.

Sama juga dengan isu aurat sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh lidah berbayar UMNO iaitu Utusan Malaysia. Fatwa di atas jelas memberi tunjuk cara untuk mengendalikan kehadiran orang bukan Islam apabila berada dalam masjid dan surau.

1. Harus mendapat kebenaran pentadbir masjid. Dalam hal ini kedua-dua wakil rakyat itu telah mendapat kebenaran dari pentadbir masjid malah pihak masjid sendiri yang menjemput mereka.

2. Perlakuan mereka terkawal dan beradab dan tidak mencemarkan kesucian masjid. Adakah kedua-dua wakil rakyat ini telah melanggar peraturan tersebut? Kalau sekadar tidak bertudung, sekali lagi ia adalah hukum ke atas orang Islam. Al-Quran dalam surah An-Nur menyebut "wahai orang beriman, labuhkanlah tudung (jilbat) kamu hingga ke paras dada ..." dan Allah tidak menyebut "wahai orang-orang Islam". Maknanya di sini arahan menutup aurat adalah kepada orang-orang beriman sebagaimana arahan puasa. Maka, orang Islam pun tidak diarahkan begitu apatah lagi orang bukan Islam. Bagi orang Islam yang mengaku beriman maka wajib baginya untuk menutup aurat tetapi bagi mereka yang islam tapi tidak beriman terpulang dan tunggulah azab Allah. Kalau orang Islam tak beriman pun tak disuruh inikan pula orang bukan Islam. Namun adakah pakaian ADUN Serdang itu tidak sopan dan menjolok mata? Jangan kerana kepentingan politik UMNO-BN lantas kamu sanggup memperkecilkan orang bukan Islam sedang mereka juga punya hak di bumi Allah.

Namun begitu, satu kaedah yang sesuai dan tidak menyinggung mana-mana pihak haras dirangka dan digubal dalam menghadapi keadaan seperti ini kerana masyarakat Melayu khususnya belum biasa dengan perkara-perkara seperti ini. Peraturan ini perlu bagi menjamin kelancaran hubungan sesama rakyat dalam menjalani urusan seharian termasuk di masjid dan surau bersama orang-orang bukan Islam. Nampaknya Pakatan Rakyat telah bertindak mendahului ke fahaman masyarakat dan ini telah diambil kesempatan oleh golongan kemaruk kuasa.

Apa pun perkara ini kalau tak berlaku akan terus menjumutkan pemikiran orang melayu khususnya dan akan terus menakutkan orang bukan Islam dengan masjid dan surau. Moga dengan berlakunya perdebatan seperti ini hasil dari peristiwa-peristiwa yang berlaku akan lebih mematangkan lagi seluruh rakyat Malaysia dalam memacu selogan "Islam For All". Jadikanlah fitnah UMNO selepas ini sebagai ruang dan peluang untuk para penda'wah dan PAS untuk memberi penjelasan tentang sesuatu isu berdasar perkara yang berlaku di depan mata. Terima kasih UMNO kerana fitnah kamu boleh memberi ilmu dan kefahaman kepada kami.

* Pembetulan: Wakil Rakyat yang saya katakan ADUN Serdang itu sebenarnya adalah Ahli Parlimen Serdang

10 pembohongan besar media berkenaan Israel

Sumber dari http://haluanpalestin.haluan.org.my   

Seorang jurnalis dan pengarang yang berasal dari Belgium, Michel Collon, mengecam media Eropah kerana sikap mereka yang telah berabad-abad berbohong kepada
masyarakat awam semata-mata untuk memberi sokongan kepada negara haram Israel. Melalui buku beliau yang bertajuk Israel, let’s talk about it, Collon telah
menyenaraikan “10 pembohongan besar” yang telah disebarkan oleh media Barat bagi “menjustifikasi kewujudan dan tindakan-tindakan kejam rejim Zionis Israel”.

Berikut adalah pembohongan-pembohongan yang dimaksudkan:

1. Pembohongan pertama adalah bahawa negara haram Israel tertubuh sebagai reaksi kepada pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi ketika peperangan dunia kedua.
Dakwaan ini sangat tidak betul, kerana penubuhan Israel pada hakikatnya adalah sebuah perancangan tirani yang kejam dan otokratik, yang telah dipersetujui
oleh Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dari sinilah puak-puak nasionalis Yahudi memutuskan untuk menakluk dan menzalimi
Palestin.

2. Justifikasi kedua bagi mereka mendirikan negara haram Israel adalah bahawa kaum Yahudi kembali ke bumi nenek moyang mereka, dari mana mereka telah dihalau
pada tahun 70 A.D. Ini hanyalah satu cerita dongeng! Collon telah berbincang dengan beberapa orang tokoh sejarah Israel, termasuklah Shlomo Sand, dan mereka
semua percaya bahawa tidak pernah berlaku pemindahan beramai-ramai kaum Yahudi. Jadi “kembali ke bumi asal” adalah suatu yang tidak benar. Mereka yang
menetap di Palestin pada zaman lampau tidak pernah meninggalkan bumi itu.

Malahan keturunan Yahudi yang berasal dari Palestin adalah mereka yang sekarang ini tinggal di Palestin. Mereka yang mendakwa untuk kembali ke bumi Palestin
adalah sebenarnya berasal daripada Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Shlomo Sand menegaskan bahawa tidak pernah wujud sebuah negara Yahudi. Malahan, puak-puak Yahudi tidak pernah mempunyai persamaan dalam sejarah, bahasa
mahupun budaya. Satu-satunya perkara yang mempunyai persamaan antara mereka adalah agama, dan agama tidak membentuk sebuah negara.

3. Pembohongan ketiga adalah bahawa ketika pendatang-pendatang Yahudi memasuki dan menduduki Palestin, bumi tersebut merupakan sebuah negara yang “kosong’
dan tidak diduduki. Sesungguhnya terdapat dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang mengesahkan terdapat transaksi mengekspot barangan pertanian daripada Palestin
ke negara-negara luar, termasuk Perancis, dalam abad ke sembilan belas.

4. Keempat, ada pihak yang mendakwa bahawa rakyat Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela. Ini adalah satu lagi pembohongan besar yang dipercayai
ramai, termasuklah Collon sendiri, sehinggalah tokoh-tokoh sejarah Israel seperti Benny Morris dan Ilan Pappe menyatakan bahawa warga Palestin telah dihalau
dan dihapuskan dari tanahair mereka melalui kekerasan, jenayah dan kekejaman.

5. Dikatakan bahawa negara Zionis Israel yang wujud hari ini adalah satu-satunya negara yang mengamalkan demokrasi di Timur Tengah, jadi negara itu harus
dilindungi kerana ianya adalah sebuah negara yang menegakkan undang-undang.

Tetapi menurut Collon, bukan sahaja Israel sebuah negara yang tidak menegakkan undang-undang, malahan Israel juga adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai
undang-undang yang dapat menjelaskan di mana wilayah dan sempadan negaranya.

Semua negara di dunia ini mempunyai undang-undang atau konstitusi yang memberi denifisi jelas berkenaan wilayah dan sempadan negara mereka, tetapi perkara
ini tidak pernah wujud bagi negara Israel. Israel hanyalah sebuah projek penaklukan yang berkembang tanpa mengenal sempadan, dan undang-undang yang ada
bagi negara tersebut benar-benar berbentuk perkauman. Menurut undang-undang mereka, Israel adalah sebuah negara untuk Yahudi dan penduduk Israel yang bukan
daripada keturunan Yahudi tidak diiktiraf sebagai manusia. Adakah undang-undang seperti ini membentuk sebuah demokrasi?

6. Amerika dikatakan cuba menegakkan demokrasi di Timur Tengah dengan membantu dan mempertahankan negara Israel. Kita semua maklum bahawa bantuan kewangan
tahunan Amerika kepada Israel mencecah sehingga USD 3 bilion. Dana ini sebenarnya digunakan untuk menghancurkan negara-negara yang berjiran dengan Israel.

Amerika tidak pernah menegakkan demokrasi di Timur Tengah, mereka mungkin hanya membantu mengukuhkan pemerintah yang sedia ada dan penguasaan kekayaan minyak
di wilayah tersebut.

7. Mereka mendakwa Amerika membantu usaha mencapai persetujuan dalam perjanjian antara Israel dan Palestin. Ini juga suatu yang tidak benar dan pembohongan.
Mantan Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah menyebut bahawa Israel adalah negara yang ke-21 dalam Kesatuan Eropah. Industri pertahanan
Eropah bekerjasama dengan industri pertahanan Israel dan malahan membantu mereka dari segi kewangan. Tetapi apabila rakyat Palestin memilih pemerintah
kerajaan mereka, negara-negara Eropah tidak mahu mengiktirafnya dan membenarkan Israel menyerang dahsyat bumi Gaza.

8. Apabila seseorang bercakap tentang perkara-perkara seperti ini dan juga sejarah pergolakan Israel dan Palestin, apabila seseorang mendedahkan kepentingan
Amerika terhadap isu ini, dia akan didakwa sebagai anti-semit untuk memberi tekanan supaya beliau menutup mulut.

Tetapi kita harus menyebut bahawa bilamana kita mengkritik Israel, itu bukanlah suatu bentuk perkauman atau anti-semitism. Kita mengkritik sebuah kerajaan
yang tidak mengiktiraf persamaan antara pemganut-penganut Yahudi, Kristian dan Islam, dan seterusnya menghapuskan keharmonian di kalangan penganut-penganut
agama yang berbeza.

9. Media massa juga mendakwa bahawa rakyat Palestin melakukan jenayah dan keganasan. Kita percaya bahawa penaklukan secara kejam yang dilakukan oleh tentera
Israel adalah sebenarnya satu jenayah dan keganasan, begitu juga dengan polisi mereka merampas tanah dan rumah-rumah milik rakyat Palestin adalah satu
keganasan yang nyata. Rakyat Palestin hanyalah mempertahankan hak dan bumi milik mereka daripada jenayah dan keganasan Israel.

10. Ramai yang mengatakan bahawa tidak ada langsung harapan untuk menyelesaikan konflik ini, dan tidak akan ada penyelesaikan terhadap kebencian yang terbentuk
akibat aksi-aksi ganas Israel dan sekutunya.

Percayalah di sana ada satu penyelesaian. Salah satu perkaya yang dapat menghentikan konflik ini adalah dengan memberi tekanan terhadap Israel, Amerika,
Eropah dan sekutu-sekutu mereka yang lain. Media massa perlu diberi tekanan supaya memberitakan apa yang benar dan menghentikan pembohongan.

Gunakan internet dan apa sahaja media yang ada bagi menyebarkan perkara yang sebenarnya berkenaan Palestin dan apa yang berlaku di sana. 

Sabtu, 21 Ogos 2010

NAJIB GAGAL GUNA MASJID

Umno politikkan Masjid

Saya mendapat maklumat yang Umno Selangor mahu menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya. Khabarnya untuk memeriahkan
majlis mereka akan mengundang Presiden Umno yang juga PM iaitu Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama Umno menggunakan masjid bagi tujuan ini. Malah hampir tiap tahun ia menganjurkannya sejak hilang kuasa di negeri ini. Tahun lepas
di Kuang dan sebelumnya di Ampang (tetapi dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan).

Saya turut difahamkan Nazir dan JK Masjid Nurul Ehsan membantah penganjuran program bercorak politik di masjid mereka.

Saya hairan mengapa mereka perlu seret pemimpin mereka ke kawasan DUN (Taman Medan) dan Parlimen (PJ Selatan) yang mereka kalah. Jelas tiada alasan lain
selain mempolitkkan majlis untuk kepentingan mereka. Ini jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

Kalau benar pun PM mahu turun berbuka puasa dengan rakyat, masuklah ikut pintu hadapan. Negeri ini ada kerajaannya. Berilah salam dan mohon maklum. Saya
percaya jika dibuat melalui pintu hadapan Menteri Besar, EXCO, ADUN dan rakyat jelata sendiri boleh keluar tanpa merasa yang majlis itu nanti suatu majlis
politik.

Tetapi kalau ikut pintu belakang, curi-curi dan memeblakang peraturan yang ada, layak sangatlah Nazir dan JK Masjid menolak malah rakyat jelata pun berhak
bersuara membantah.

Jangan politkkan masjid kami di bulan Ramadhan ini...........

Umno Selangor semakin murah..........

Isu Umno mahu mempolitkkan masjid di bulan Ramadhan ini terus hangat. Siang tadi saya menerima panggilan bertalu-talu dari berbagai pihak menyatakan bantahan
terhadap cadangan Umno Selangor untuk mengadakan majlis berbuka bersama PM (yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor) di Masjid Nurul Ehsan,
Kg Medan, Petaling Jaya.

Malah petang tadi saya telah menemani Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali bersama Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Sdr Khairuddin Othman bertemu
dengan Dato' Menteri

Besar di rumah beliau bagi melahirkan kebimbangan PAS Selangor terhadap apa yang berlaku.

Sedang kami berada di rumah MB berbagai pihak bertandang ke masjid berkenaan termasuklah kontraktor yang mahu memasang khemah tetapi dihalang oleh pihak
pimpinan masjid. Pimpinan Umno Selangor turut berada di masjid kononnya untuk berunding.

Tanpa segan-silu mereka mengguna dan menjual berbagai nama untuk melanggar masuk mengguna masjid, termasuklah nama MB, EXCO Agama malah nama istana pun
turut dibabitkan.

Mujurlah pihak pimpinan masjid menghadapi isu ini dengan tenang dan membenarkan kami dan MB merundingkan suatu penyelesaian terbaik demi mengelak sebarang
kejadian yang tidak diingini.

Hakikatnya Umno Selangor mahu guna masjid. Surat permohonan atas nama parti itu diserahkan kepada Nazir masjid. Pihak masjid keranan menjunjung titah Tuanku
Sultan telah menolak permohonan itu kerana masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik. Itu bukan arahan MB atau EXCO Agama, itu perintah Tuanku sendiri.
Jangankan Umno, PAS dan PKR pun tidak pernah membuat sebarang permohonan begitu untuk guna masjid di Selangor ini!

Saya masih ingat semasa Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam tahun lalu, Pengarah JAIS mentah-mentah menolak permohonan bagi membenarkan YAB Mursyidul Am dan
YB Presiden PAS berkhutbah dimana-mana masjid di Selangor. Lalu apa istimewanya Umno yang merupakan parti pembangkang di Selangor ini?

Kalau pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik kerajaan Persekutuan, pimpinan kerajaan negeri diharamkan menjejak kaki, apa pula istimewa Umno di pusat-pusat,
kemudahan dan bangunan milik negeri.

Saya difahamkan apabila ditolak oleh Nazir, maka Umno Selangor mengguna apa sahaja talian hayat yang tinggal pada mereka, walaupun tanpa mengiku peraturan
untuk memastikan agenda mereka itu dapat diteruskan juga. Surat Umno ditukar dengan surat dari Pejabat PM dan kali ini diserah terus kepada JAIS.

Apakah mereka ini sudah hilang pertimbangan sehingga menjadi jahil dan buta peraturan. Mengapa dari awal tidak buat permohonan rasmi? Jika PM mahu turun
sepatuntnya Pejabat PM menghubungi Pejabat MB, tidakkah itu sopan dan mengikut saluran namanya? Kenapa perlu digunakan surat berkepala Umno, ditandatangani
oleh SU Kerja Umno Negeri dialamatkan kepada Nazir.........beginikah cara Umno mengurus diri mereka?

Akhirnya setelah berunding, kata putusnya pihak negeri memberikan laluan tetapi bersyarat. Antaranya tiada sepanduk dan bendera Umno dibenar dikibarkan,
tiada ucapan politik, semua pimpinan setempat termasuklah ahli parlimen, ADUN, ahli majlis dan lain-lain mesti diundang dan paling penting sekali majlis
itu nanti mesti dianjurkan oleh pihak JAIS dan bukan parti politik.

Saya mendengar sendiri arahan yang diberi oleh Dato MB kepada Dato Setiausaha Kerajaan Negeri melalui telefon. Kemudiannya Dato Hasan menghubungi Nazor
masjid memberikan arahan yang sama, kata Dato Hasan yang dibenar memberi ucapan adalah Nazir dan PM. Malah apabila saya bertanya kepada Dato MB, bagaimana
jika Noh Omar berucap, bagaimana jika Ezam Md Nor berucap? Kata Tan Sri mereka tiada tauliah, tidak boleh, jika bercakap juga kita tangkap!

Walaupun berat kita terima keputusan negeri, tetapi kita wajib memastikan yang pihak pemohon mematuhi semua peraturan yang disebutkan di atas. Kepada ahli
kariah Masjid Nurul Ehsan, raikanlah mereka tetapi berwaspada jika ada pihak-pihak lain selain yang dibenarkan itu berucap...........ambil tindakan.

Syabas ahli-ahli kariah PJS

Akhirnya Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor tak jadi datang ke Majid Nurul Ehsan, Taman Medan, PJS. Akibat tentangan kuat
dari ahli-ahli kariah khasnya Nazir dan SU Masjid majlis berbuka puasa bersama Najib itu, anjuran Umno Selangor terpaksa dipindahkan pada saat-saat akhir
dari Masjid berkenaan ke tapak letak kereta berhadapan Masjid as Salam di Taman Sri Manja juga di PJS.
s400/113

Panas telinga dengar tazkirah?
Itu pun pihak penganjur masih dengan bongkak menaikkan sepanduk dan kain rentang parti bagi menyambut kedatangan pemimpin mereka itu tanpa kebenaran mana-mana
pihak. Negeri ini kan ada peraturan, ikutlah peraturan. Akhirnya pihak penguatkuasa Majlis Bandaraya PJ (MBPJ) telah bertindak menurunkan bendera dan kain
rentang mereka itu.

Bukankah majlis ini sudah dipersetujuidianjurkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)? Bukankah antara syaratnya tidak dibenarkan sebarang bendera
atau kain rentang parti politik dinaikkan? Kerajaan negeri menghormati hak PM untuk turun berjumpa rakyatnya, tetapi apabila turun ke negeri ini,maka undang-undang
dan peraturan negeri perlulah dipatuhi dan turut dihormati.

Kalau ikut nafsu Noh Omar dan Khir Toyo memanglah begitu.

Akhirnya kerana tidak menghormati undang-undang dan peraturan yang diguna-pakai mereka sendiri menjadi susah.

Kedatangan Najib dan majlis berbuka puasa diadakan juga di bawah khemah di tapak letak kereta itu. Segala ucapan dan majlis bantuan diadakan di bawah khemah
dan tidak di masjid, kerana mereka tahu jika buat di masjid sudah pasti mereka perlu patuhi peraturan yang dikenakan Jawatankuasa Masjid.

Akhirnya mereka sekadar bersolat di masjid. Itupun terpaksa mendengar tazkirah pula oleh penceramah jemputan masjid. Khabarnya Najib tidak tinggal untuk
dengar tazkirah sebaliknya angkat kaki dan pulang ke Putrajaya.

Syabas diucapkan kepada ahli-ahli kariah kedua-dua masjid kerana berjaya menyekat masjid dari digunakan sebagai gelanggang politik oleh mereka-mereka yang
“desperado” di Selangor ini. Syabas juga kepada ahli majlis yang bertindak menurut peraturan walaupun terhadap majlis PM!

Sesungguhnya peraturan yang ada bukannya menghalang sekadar majlis kibar bendera dan naikkan kain rentang, tetapi perlulah dipatuhi. Proses kelulusan dan
kebenaran perlu dilalui walaupun ke atas siapa tanpa memilih bulu. Kalau dulu semasa BN ada arahan mengharamkan terus permohonan dari parti pembangkang
tetapi kerajaan sekarang beri kelonggaran, syaratnya patuhilah proses yang ada.

Syabas sekali lagi semua pihak yang berani mempertahankan kebenaran di PJS……kita tunggu nasib Pengarah JAIS.

* 3 Aartikal ini dipetik dari Blog roslan sms

Ahad, 15 Ogos 2010

Rasai keunikan solat Jumaat di hotel De Palma

AMPANG, 14 Ogos: Sempena Ramadhan tahun ini, kumpulan hotel De Palma mahu memperkukuhkan lagi usahanya untuk menjadi rangkaian hotel yang memenuhi syariat
Islam atau syariah compliant.

Untuk itu, pelbagai usaha telah dibuat sejak Oktober tahun 2008 lalu apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mula membenarkannya mengadakan solat Jumaat
di suraunya.

(Gambar: Surau Nurul Hikmah hotel De Palma, Ampang, penuh sesak setiap kali Jumaat)
Ketika Harakahdaily berkunjung ke hotel itu tengahari semalam, hampir 2,000 umat Islam bersesak-sesak memasuki hotel itu bagi menunaikan solat Jumaat.

Surau yang bersebelahan dengan kolam renang itu melimpah ruah hingga kolam untuk kanak-kanak di tutup dan di pasang khemah di atasnya untuk memenuhi keperluan
untuk solat Jumaat itu.

Ia satu fenomena yang sangat menarik yang melanggar trend atau kebiasaan sebuah hotel yang sifatnya adalah eksklusif.

Kini, hotel De Palma Ampang telah menjadi semacam hotel rakyat apabila umat Islam dari pelbagai jenis dan latarbelakang memasuki hotel itu.

Ada yang berpakaian kemas ala petugas pejabat, berjubah ala pakaian Arab bahkan juga yang selekeh seperti pekerja warga asing yang datang untuk bersembahyang
Jumaat di surau Nurul Hikmah hotel itu.

Semuanya bermula seminggu selepas hari raya Aidil Fitri iaitu bulan Ogos 2008 lalu.

(Gambar: Umat Islam dari pelbagai latar belakang bersolat Jumaat di hotel De Palma, Ampang)
"Sebenarnya perubahan ini bermula apabila Group GM (Pengurus Besar Kumpulan) kami, Datuk Haji Mohd Ilyas, balik dari Mekah. Dia melahirkan cita-cita untuk
menjadikan hotel kami memenuhi syariat Islam," kata Zamir Shukri Zain, Pengurus Bahagian Bilik hotel De Palma, Ampang ketika ditemui.

Buat permulaan, kata beliau, ia tidak mendapat kelulusan dari pihak atasan namun selepas kerajaan Selangor bertukar tangan pada tahun 2008 lalu, hasrat
murni itu mendapat sokongan.

Hotel De Palma adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan diuruskan oleh syarikat Biztel Sdn Bhd yang dipimpin oleh Datuk Mohd Ilyas yang
kini adalah Pengurus Besar Kumpulan hotel-hotel ini.

Datuk Mohd Ilyas juga adalah Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia.

De Palma mempunyai empat hotel kini iaitu Kuala Selangor, Shah Alam dan Sepang di samping Ampang.

"Kami sedang dalam proses untuk membuka hotel kami yang ke lima iaitu di Kucing. Dan semua hotel-hotel ini adalah syariah compliant," kata Zamir yang juga
Setiausaha Surau Nurul Hikmah ini.

Yang dimaksudkan dengan syariah compliant adalah semua aktiviti di hotel ini adalah tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Antaranya tidak menyediakan arak, tiada aktiviti maksiat seperti rumah urut yang diberikan pelbagai jenama itu di samping semua makanan yang disediakan
adalah yang halal sahaja.

"Dulu tempat kita duduk ini adalah bar tetapi sekarang kita telah tukar kepada kopitian,"